Program Dermasiswa B40 JPA 2022

Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelawa pelajar-pelajar yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat untuk memohon Program Dermasiswa B40 JPA (DB40).

Permohonan adalah secara atas talian yang akan dibuka mulai 15 Julai hingga 24 Julai 2022.

 

Apakah Program Dermasiswa B40 JPA 2022?

Program ini mensasarkan pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma di institusi yang dikenalpasti daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah, iaitu golongan B40 untuk diberi penajaan secara kaedah dermasiswa.

Objektif pelaksanaan program ini adalah bagi membantu pelajar-pelajar SPM dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah iaitu golongan B40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, khususnya di peringkat Diploma dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mempunyai
kebolehpasaran yang tinggi dalam industri.

Bagi tahun 2022, penajaan adalah melibatkan pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Politeknik dan Institut Kemahiran Awam (IKA).

 

Syarat Permohonan Biasiswa Dermasiswa B40 2022

Syarat Umum

Calon-calon yang berminat mestilah memenuhi syarat-syarat umum dan khusus permohonan seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia;
  2. Mempunyai kesihatan yang baik;
  3. Menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021 buat kali pertama;
  4. Umur belum mencapai 19 tahun pada tarikh permohonan (20 tahun bagi pelajar peralihan);
  5. Ibu dan / atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh pihak JPA;
  6. Tidak menerima bantuan kewangan / tajaan dari mana-mana pihak di peringkat pengajian yang sama; dan
  7. Pendapatan perkapita dalam kategori B40 iaitu RM4,849.00 sebulan dan ke bawah.

Syarat Khusus

i – Bagi Universiti Awam (UA)/ Politeknik yang dikenalpasti:

a) Menduduki SPM pada tahun 2021 dan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta mendapat sekurang-kurangnya gred C dalam mana-mana tiga (3) subjek lain yang diambil; dan

b) Telah mendapat tempat dan memulakan pengajian di institusi pengajian tersebut.

ii – Bagi Institut Kemahiran Awam (Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) / Institut Kemahiran MARA / Kolej Kemahiran Tinggi MARA / Kolej Komuniti / Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) / Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI))

a) Menduduki SPM pada tahun 2021 dan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta mendapat sekurang-kurangnya gred C dalam mana-mana satu (1) subjek lain yang diambil; dan

b) Telah mendapat tempat dan memulakan  pengajian di institusi pengajian tersebut.